Real World Asset (RWA) ialah satu konsep di mana aset sebenar dari dunia nyata seperti hartanah, emas, saham atau bon diwakili dalam bentuk token digital di atas blockchain. Ini membolehkan aset yang sebelum ini sukar untuk didagangkan secara terbuka kini boleh dipindah milik dengan lebih mudah dan pantas.
➡️ Kalau dulu nak beli tanah atau emas kena pergi pejabat, jumpa orang, tandatangan. Tapi sekarang, semua tu boleh jadi satu token dalam internet. Macam duit syiling maya, tapi sebenarnya ia wakilkan benda betul, macam rumah atau emas kita.
Aset ini di"tokenize", iaitu dipindahkan ke bentuk digital dan disimpan di atas rantaian blok (blockchain). Apabila ini berlaku, setiap token mewakili sebahagian atau keseluruhan nilai aset tersebut. Contohnya, sebuah rumah bernilai RM1 juta boleh dibahagikan kepada 1,000 token, dan setiap token bernilai RM1,000.
➡️ Maksudnya rumah boleh dibelah-belah jadi kecik. Kalau kita ada RM1,000 je pun, boleh beli satu bahagian kecil rumah tu. Tak payah tunggu kaya baru boleh melabur.
Antara kelebihan RWA adalah ia meningkatkan kecairan (liquidity). Aset fizikal seperti bangunan atau karya seni biasanya sukar untuk dijual cepat, tetapi apabila ditokenkan, ia boleh dijual beli seperti token kripto biasa. RWA juga membantu membuka peluang pelaburan kepada orang ramai, termasuk yang mempunyai modal kecil.
➡️ Senang cerita, orang biasa macam kita pun boleh rasa jadi pelabur. Tak payah juta-juta. RM10 pun boleh mula, janji ada token tu.
RWA juga dipercayai lebih stabil berbanding token kripto biasa yang sangat mudah berubah harganya. Ini kerana ia bersandar kepada aset sebenar yang ada nilai tetap di dunia nyata.
➡️ Kalau duit kripto biasa tu macam daun ditiup angin, naik turun tak tentu arah. Tapi RWA ni lebih berat, sebab dia ada “barang betul” kat belakang dia.
Contoh token RWA yang popular termasuk:
-
Ondo Finance (ONDO) – fokus kepada bon kerajaan dan aset tetap
-
RealT – token hartanah yang boleh dibeli dan menjana pendapatan sewa
-
Matrixdock – menawarkan token yang disandarkan kepada bon kerajaan US
-
Backed Finance – token yang disandarkan kepada saham seperti Apple dan Tesla
-
Maple Finance – fokus kepada pinjaman berasaskan aset sebenar
➡️ Nama-nama token ni macam pelik, tapi semuanya cuba jadikan benda dunia sebenar masuk dalam dunia maya. Macam masukkan emas dalam komputer.
Perbezaan antara RWA dan token kripto biasa seperti Bitcoin atau Ethereum adalah pada sandaran nilai. Token biasa tidak mempunyai nilai fizikal atau sandaran aset dunia nyata. Nilainya hanya bergantung kepada permintaan pasaran. Sebaliknya, token RWA mempunyai sandaran yang jelas seperti tanah, bon, atau hasil pertanian.
➡️ Bitcoin tu macam duit yang orang suka beli sebab orang lain pun suka beli. Tapi RWA ni macam kita beli emas betul, tapi dalam bentuk maya.
Dengan perkembangan peraturan dan teknologi, token RWA dijangka menjadi antara trend utama dalam dunia kripto pada tahun-tahun mendatang, kerana ia menghubungkan dunia digital dan dunia fizikal dengan lebih lancar dan selamat.
➡️ Jadi, ini bukan angan-angan Mat Jenin. Ini cara baru dunia moden nak bagi orang kampung pun boleh masuk pelaburan cara selamat

Catat Ulasan