FIFA World Cup 2026 dan Kripto: Apa yang Sebenarnya Berlaku dan Apa Risikonya



Piala Dunia 2026 bukan sekadar turnamen bola sepak. Kali ini, FIFA mengintegrasikan blockchain terus ke dalam infrastruktur acara itu sendiri, bukan sekadar tujuan pemasaran atau iklan pinggir padang. Tiket dijual melalui NFT, prediction market dijalankan on-chain, dan sebuah exchange kripto menjadi penyokong rasmi untuk pertama kalinya dalam sejarah FIFA.


Ini berbeza daripada 2022. Waktu itu, kripto lebih banyak muncul sebagai logo syarikat di jersi atau papan iklan. Sekarang, beberapa nama besar dalam industri kripto terlibat langsung dalam cara peminat berinteraksi dengan World Cup, dari cara mereka beli tiket hinggalah cara mereka buat ramalan perlawanan.


Artikel ini terangkan empat nama utama yang perlu anda tahu, bagaimana semuanya berfungsi dalam bahasa mudah, dan apakah risiko yang jarang dibincangkan oleh media lain.




Empat Nama Utama Yang Perlu Anda Tahu


Kraken: Exchange Kripto Rasmi FIFA


Pada 9 Jun 2026, FIFA mengumumkan Kraken sebagai Official Crypto Exchange Supporter FIFA World Cup 2026, menjadikannya exchange kripto pertama yang pernah memegang status rasmi dalam sejarah Piala Dunia.
Pengaktifan Kraken merangkumi 16 bandar hos di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico, dengan sasaran jangkauan hingga enam bilion peminat di seluruh dunia melalui penyiaran dan digital. Syarikat ini akan jalankan kempen edukasi kripto dan pengalaman digital yang mengaitkan budaya bola sepak dengan ekosistem kripto.


Satu perkara penting: Kraken memegang tahap "Supporter", bukan "Official Partner" penuh. Bezanya halus tapi bermakna secara komersial, ia setara dengan perbezaan antara syarikat yang namanya ada dalam brosur berbanding yang logo besarnya ada di stadium.


Avalanche: Blockchain di Sebalik Tiket Digital FIFA


FIFA memilih Avalanche sebagai infrastruktur blockchain untuk sistem tiket NFT dan koleksi digital sepanjang World Cup 2026. Platform FIFA Collect digunakan untuk menjual apa yang FIFA panggil Right-to-Buy (RTB) tokens iaitu NFT yang memberi hak untuk membeli tiket perlawanan tertentu jika syarat dipenuhi.


Penting untuk faham: RTB token ini bukan tiket sebenar. Ia lebih mirip kepada nombor giliran berbayar. Kamu bayar dulu ratusan dolar, dan jika pasukan yang kamu pilih layak ke pusingan tersebut, barulah kamu dapat peluang beli tiket sebenar pada harga yang FIFA tentukan kemudian.


Lebih dari 30,000 RTB token telah dijual oleh FIFA, menjana lebih daripada AS$10 juta. Harganya antara AS$299 hingga AS$999 bergantung kepada pasukan yang dipilih: pasukan seperti Argentina dan Brazil lebih mahal kerana peluang mereka layak ke pusingan akhir lebih tinggi.



Chiliz (CHZ) dan Fan Token Pasukan Kebangsaan


Chiliz ialah syarikat blockchain yang menguruskan fan token untuk pasukan bola sepak, termasuk pasukan kebangsaan dari pelbagai negara. Ia melancarkan kempen khas sempena World Cup 2026 yang diberi nama "Burn to Glory: World Edition" bermula 11 Jun 2026.


Mekanisme asasnya: setiap kali pasukan yang ada fan token menang perlawanan, sejumlah fan token pasukan tersebut dibakar atau dimusnahkan secara kekal daripada peredaran, dengan kadar pemba-karan bermula dari 1% dan meningkat sehingga 10% jika pasukan menang di peringkat akhir. Dalam teori ekonomi token, bila bekalan berkurang, nilai token yang tinggal boleh naik.


Untuk token CHZ sendiri, Chiliz memperuntukkan 10% daripada semua hasil transaksi fan token dalam ekosistemnya untuk membeli balik CHZ dari pasaran terbuka dan membakarnya secara kekal.



ADI PredictStreet: Prediction Market Rasmi FIFA


ADI PredictStreet dilantik FIFA sebagai rakan rasmi prediction market untuk 104 perlawanan World Cup 2026. Platform ini berfungsi di atas ADI Chain, iaitu rangkaian Layer-2 (lapisan pemprosesan di atas Ethereum) dengan fokus di rantau MENA.
Prediction market bermaksud platform yang membolehkan pengguna ambil posisi YES atau NO pada sesuatu keputusan perlawanan, dan mereka untung atau rugi berdasarkan ketepatan ramalan tersebut. Token natif platform ini ialah $ADI.


Satu catatan penting: platform ini belum dilancarkan sepenuhnya kepada awam semasa artikel ini ditulis. Ia masih dalam peringkat awal, dan kerangka regulasi yang mengawal operasinya juga belum jelas sepenuhnya.




Tiga Risiko Yang Jarang Disebut


1. Token Scam Berlabel "World Cup" Semakin Banyak


Tiada token rasmi FIFA World Cup 2026 yang dikeluarkan untuk tujuan pelaburan umum. Ini penting untuk diulang: jika anda jumpa token dengan nama "FIFA2026", "WorldCupToken", atau seumpamanya di Telegram, media sosial, atau exchange yang tidak dikenali, ia hampir pasti bukan berkaitan dengan FIFA secara rasmi.


Acara sukan besar seperti ini sering menjadi peluang pihak tidak bertanggungjawab untuk melancarkan token dengan nama menarik bagi menarik wang dari pelabur yang tidak berhati-hati.



2. Siasatan Regulator Switzerland Terhadap NFT Tiket FIFA


Gespa, regulator perjudian Switzerland, sedang menyiasat sama ada RTB token FIFA tergolong di bawah undang-undang perjudian negara mereka. Ia bukan tuduhan, tetapi siasatan untuk tentukan sama ada produk ini bersifat perjudian atau sekadar hak pembelian bersyarat.


Jika keputusan siasatan ini tidak menyebelahi FIFA, ia boleh memberi kesan kepada cara RTB token dijual atau diniagakan di pasaran sekunder pada masa hadapan.



3. Fan Token Bukan Pelaburan Tradisional


Fan token tidak memberi pemilikan saham dalam sebarang kelab atau pasukan, tiada dividen, tiada hak kewangan. Kebanyakannya hanya memberi hak mengundi pada keputusan kecil seperti corak jersi latihan, atau akses kepada kandungan eksklusif.


Nilainya sangat terikat kepada sentimen peminat dan momentum pasukan. Bila pasukan tersebut tersingkir daripada tournament, minat terhadap token pasukan itu biasanya ikut jatuh. Ini lebih hampir kepada produk hiburan berbayar daripada instrumen pelaburan.



Nota Khas: Prediction Market dan Isu Perjudian


Prediction market seperti ADI PredictStreet melibatkan unsur pertaruhan berasaskan keputusan sebenar, dan hukumnya dalam Islam bergantung kepada cara platform tersebut beroperasi. Pembaca Muslim yang ingin terlibat dengan mana-mana platform prediction market disyorkan untuk mendapatkan pandangan daripada pakar kewangan Islam atau merujuk pihak berkuasa agama tempatan sebelum mengambil sebarang tindakan. Platform ini masih baharu dan belum ada penilaian hukum rasmi yang komprehensif mengenainya.


Apa Maksudnya Kepada Anda Selepas Ini?


Perkembangan World Cup 2026 menunjukkan bahawa blockchain sudah mula digunakan pada skala yang benar-benar besar dan nyata. FIFA bukan syarikat kecil; bila mereka pilih Avalanche untuk tiket dan Kraken sebagai exchange rasmi, itu tanda industri ini dilihat cukup matang untuk dipercayai dalam acara yang disaksikan berbilion orang.


Bagi pelabur runcit, beberapa perkara patut diperhati:


CHZ dan AVAX adalah dua token yang paling langsung terkait dengan perkembangan ini, tetapi kedua-duanya sudah bergerak awal, harga telah naik sebelum World Cup bermula


Fan token pasukan tertentu boleh bergerak mengikut prestasi pasukan dalam tournament, tetapi ini bersifat spekulatif dan bermusim


RTB token FIFA sudah banyak yang terjual habis, dan pasaran sekundernya bergantung kepada keputusan siasatan Gespa


ADI PredictStreet masih dalam peringkat terlalu awal untuk dinilai dengan tepat
Yang paling penting: pastikan anda hanya berinteraksi dengan projek yang boleh disahkan secara rasmi. Di sebalik setiap acara besar, selalunya ada peluang nyata untuk sebilangan kecil, dan perangkap mahal untuk kebanyakan yang terburu-buru.

Post a Comment

Terbaru Lebih lama